Tarikh : Masa :


Sejarah Penubuhan

    SEJARAH PENUBUHAN MAAHAD MUHAMMADI LELAKI SEJAK 1937 - KINI     


Mengikut sejarah, pendidikan agama Islam di negeri Kelantan dikesan bermula pada akhir abad ke sembilan belas lagi di mana beberapa golongan ulama berperanan menyebar ilmu agama secara pondok di seluruh negeri Kelantan. Pendidikan agama secara formal bermula apabila Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menubuhkan sebuah Sekolah Agama/Arab pertama pada 1 April 1937 dikenali sebagai Al-Madrasah Al-Muhammadiah Al-Arabiah.

Bermula dari sini pendidikan agama telah berkembang dengan pesatnya di mana beberapa buah lagi sekolah agama seumpama itu ditubuhkan. Sambutan yang amat menggalakkan ini bukan sahaja dari anak-anak tempatan malah terdapat ramai para pelajar dari negeri-negeri di semenanjung telah datang untuk belajar di sini. Sambutan seumpama ini juga telah juga mendorong individu tempatan membina sekolah agama rakyat.

Selaras dengan perkembangan pesat sekolah ini khususnya selepas merdeka, Pihak MAIK telah menyerahkan pengurusan dan pengelolaan sekolah-sekolah ini kepada Kerajaan Negeri yang berjumlah  6  buah kesemuanya. Sekolah-sekolah tersebut ialah Maahad Muhammadi, Maahad Yaakubiah Nipah, Maahad Amir Indera Petra, Maahad Muhammadi Pasir Mas, Maahad Muhammadi Pasir Pekan dan Maahad Syamsul Maarif, Pulai Chondong.

 Dengan penyerahan sekolah ini, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Jabatan Sekolah-Sekolah Agama (JASA) pada 1 Julai 1974. Di samping itu pihak Kerajaan Negeri juga mengambil alih sekolah-sekolah agama bantuan (rakyat) yang berjumlah 100 buah waktu itu, bagi menjamin sistem pendidikan dan pengurusan sekolah-sekolah tersebut berjalan dengan baik dan sempurna. Pada 1 Jun 1979, JASA diubah   menjadi Yayasan Pelajaran Islam Negeri Kelantan (YPINK) dan Yayasan Islam Kelantan (YIK)  pada 1 Mac 1983.


Bangunan lama Maahad Muhammadi Pasir Mas yang didirikan semasa Perang Dunia Kedua,

Bangunan ini digunakan hingga 6 Ogos 1969 dan berpindah ke bangunan baru dua tingkat di belakang Masjid Bandar Pasir Mas.


Maahad Muhammadi (Bangunan MAIK), 1937


SELAYANG PANDANG SEJARAH MAAHAD MUHAMMADI 1937-2020     

 

Bangunan Maahad Muhammadi Lelaki di Jalan Tok Guru (Pandangan hadapan)


Bangunan MAIK dijadikan sekolah pertama al-Madrasah al-Muhammadiah al-Arabiah di Jalan Sultan 1937


            Maahad Muhammadi merupakan salah satu institusi pengajian formal agama yang tertua di Malaysia. Institusi pendidikan ini telah memainkan peranan yang besar dalam sejarah pendidikan di negeri Kelantan sebelum merdeka kerana telah berjaya melahirkan alim ulama dan cendekiawan yang tersohor di rantau ini terutama selepas merdeka 1957. Sejak penubuhan kelas aliran sains pada tahun 1996, Maahad Muhammadi Lelaki telah mencipta sejarah baharu apabila berjaya menghasilkan golongan profesional yang berlatar belakang pendidikan agama seperti doktor, jurutera, ahli perniagaan, peguam, arkitek, pensyarah, dan lain-lain.

            Dari segi sejarah, Maahad Muhammadi ditubuhkan pada hari Khamis 1 April 1937 (20 Muharram 1356)  dengan ampuni perkenan dan titah Baginda Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Al Sultan Ismail Ibni Al-Marhum Al-Sultan Muhammad IV, Al-Sultan dan Yang Dipertuan bagi Negeri Kelantan Darul Naim. Pengetua yang pertamanya ialah Sayid Abu Bakar bin Abdullah bin Ab. Rahman Al-Attas telah dilantik pada 1 Mac 1937. Tapak asal Maahad Muhammadi ini adalah di bangunan Majlis Ugama Islam Negeri Kelantan (MAIK) di Jalan Sultan, Kota Bharu, Kelantan. Sekolah ini dianggap sebagai sekolah yang pertama di negeri Kelantan. Pada peringkat awalnya mempunyai 2 kelas sahaja untuk menampung jumlah pelajar seramai 75 orang untuk mempelajari 14 mata pelajaran sahaja. Bilangan pelajar peringkat permulaan ini dikira cukup ramai dalam sesebuah institusi pengajian yang wujud sebelum kemerdekaan negara. Mata pelajaran yang diajar pada peringkat tersebut ialah Al Quran, Tauhid, Fikah, Akhlak, Qiraat, Khat, Imlak, Sejarah, Khitabah, Bahasa Arab, Mahfuzat, Hisab, Nasyid, dan Riadah.

            Nama Maahad Muhammadi mempunyai rentetan sejarah yang unik dan berubah-ubah mengikut tahun dan kesesuaian keadaan. Nama pada peringkat awalnya atau penubuhannya ialah Al Madrasah Al Muhammadiah Al Arabiah iaitu pada tahun 1937-1942. Namanya ditukar pula kepada Al Madrasah Al Arabiah Jamek Merbau Al Ismaili 1942-1956, Al Maahad Al Muhammadi Al Qismu Al Arabi 1956-1973, dan Al Maahad Al Muhammadi 1974-1982.

            Pada tahun 1982  (1 Julai 1982) Al Maahad Muhammadi dibahagikan kepada dua iaitu Al Maahad Al Muhammadi Lilbanat dan Al Maahad Al Muhammadi Lilbanin. Al Maahad Al Muhammadi Lilbanat kekal di tempat asalnya di Jalan Merbau dan diletakkan di bawah pentadbiran pengetua Tn Hj Nik Abdul Kadir Nik Muhamad. Al Maahad Al Muhammadi Lilbanin pula dipindahkan ke Jalan Pengkalan Chepa (Bangunan Sekolah Islah) untuk peringkat menengah rendah yang diletakkan di bawah pentadbiran pengetua Tn Hj Yusoff bin Yaakub. Pelajar menengah atas bahagian lelaki  (Pelajar Tingkatan 6) pula ditempatkan di Pasir Pekan. Tahun 1985  Al Maahad Al Muhammadi Lilbanat ditadbir oleh pengetua Tn Hj Yusoff bin Yaakub manakala Al Maahad Al Muhammadi Lilbanin di bawah pengetua Tn Hj Nik Abdul Kadir Nik Muhamad pula. Pada 1.1.1989 semua pelajar Al Maahad Al Muhammadi Lilbanin disatukan di bawah pengurusan satu buah sekolah sahaja iaitu di Jalan Pengkalan Chepa. Semua pelajar lelaki dari Pasir Pekan dipindahkan ke Jalan Pengkalan Chepa pada tarikh tersebut. Pengurusan pentadbiran masih lagi kekal dengan pengetua yang sama iaitu Tn Hj Nik Abdul Kadir bin Nik Muhamad.

            Al Maahad Al Muhammadi Lilbanin menempa sejarah apabila pembinaan bangunan baharu 3 tingkat mula dibina pada tahun 1988 dengan ciri-ciri yang menarik dan telah siap digunakan pada 1 Januari 1989. Bangunan baharu ini telah dirasmikan dengan acara yang penuh gilang-gemilang oleh KDYM Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra,  Sultan dan Yang Dipertuan bagi Negeri Kelantan Darul Naim. Turut berangkat ke majlis perasmian tersebut ialah YTM Tengku Muhammad Faris Petra Ibnu Sultan Ismail Petra, Tengku Mahkota Kelantan. Sebuah Masjid Al Islah dibina dibina pada 20 Julai 1989 dan majlis peletakan batu asasnya disempurnakan oleh YAB MB Kelantan Tan Seri Dato’ Hj Mohamed bin Yaacob.